Make your own free website on Tripod.com

P.Ramlee - Filem 'Hang Tuah'.


Filem Melayu pertama yang berwarna ini telah dikeluarkan oleh Show Brothers Limited dan diterbitkan oleh Malay Film Productions, pada 28 Januari 1956. Projek gergasi ini telah dibintagi hampir kesemua seniman dan seniwati ketika itu. Dialog oleh Buyong Adil dan Jamil Sulong dan diarahkan oleh Phani Majumdar.

Seperti mana yang kita tahu tentang Laksamana Melaka yang masyhur lagi terbilang ini. Rata-rata sudah pun maklum akan kisah hikayat laksamana lagenda ini.

Hang Tuah (P.Ramlee), Hang Jebat (Ahmad Mahmud), Hang Kasturi (Nordin Ahmad), Hang Lekir (S.Shamsuddin) dan Hang Lekiu (Aziz Sattar) telah pergi menuntut ilmu persilatan di Gunung Ledang dengan Adi Putera. Di sana orang-orang asli mendiami sekeliling tempat Adi Putera. Termasuklah Melur (Saadiah) yang menjadi pembantu kepada Adi Putera. Melur telah jatuh cinta dengan Hang Tuah.

Setelah selesai menuntut, mereka lima bersaudara pulang ke kota Melaka. Suatu hari, mereka telah menyelamatkan Dato' Bendahara (Daeng Idris) daripada amukan orang yang menggila. Melihat kejadian itu, Dato' Bendahara menjemput Hang Tuah lima bersaudara ke rumah Dato' Bendahara. Diraikan dan diberikan sepersalinan pakaian.

Berita ini telah sampai ke telinga baginda Sultan Melaka (Haji Mahadi). Baginda telah menitahkan agar mereka mengadap. Setelah itu mereka telah dilantik menjadi hulubalang Melaka dan mengiringi baginda Sultan ke mana saja.

Kemudian baginda Sultan telah berangkat ke Majapahit untuk berkahwin dengan Raden Mas. Di sana Hang Tuah menjulang nama pahlawan Melayu dengan pengalahkan Taming Sari, pahlawan Majapahit. Sebagai anugerah Raja Majapahit kepada Hang Tuah, keris pahlawannya diserahkan kepada Hang Tuah.

Sekembalinya dari Majapahit, Hang Tuah menjalankan satu misi rahsianya ke Pahang untuk mengambil Tun Teja (Zaiton) untuk dipersembahkan kepada baginda Sultan. Hang Tuah melakukannya setelah mendengar hasrat hati baginda Sultan untuk memperisterikan Tun Teja.

Kedatangan Hang Tuah ke Pahang disambut dengan gembira oleh bendahara Pahang. Ini kerena kemasyhuran Hang Tuah sudah tersebar serantau negeri. Dengan segala ilmu dan helah yang digunakan, Tun Teja mula diperdaya.

Namun akhirnya Hang Tuah sendiri terperangkap. Terperangkap dengan cintanya. Mula terpikat dengan keayuan Tun Teja, tetapi hatinya pula masih teringatkan Melur. Jati dirinya yang setia kepada sultan, terpaksa Hang Tuah menolak semuanya ke tepi. "Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra, sejati dan mulia".

Semasa ketiadaan Hang Tuah, Melur telah ke Melaka untuk mencari Hang Tuah. Namun Melur telah ditahan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Wijaya. Melur kemudiannya dijadikan dayang istana.

Hang Jebat yang mengetahu hal ini merasa tersinggung diatas kejadian itu. Sekembalinya Hang Tuah, disampaikannya khabar ini kepada Hang Tuah. Tetapi ketaatan Hang Tuah kepada baginda Sultan tidak dapat menandingi kasih sayangnya kepada Melur.

Namun begitu, Hang Tuah telah menemui Melur. Pertemuan itu telah digunakan oleh Tun Ali dan Patih Karma Wijaya sebagai peluang untuk menjatuhkan Hang Tuah. Baginda Sultan telah melihat kejadian itu. Hang Tuah dihukum bunuh dan Dato' Bendahara dititahkan untuk melaksanakannya. Oleh kerana terlalu sayangnya Dato' Bendahara kepada Hang Tuah, Dato' Bendahara telah menyembunyikannya.

Hang Jebat tahu Hang Tuah dianiaya. Dia yang menggantikan tempat Hang Tuah membuat onar di istana. Baginda Sultan terpaksa keluar dari istana dan menyatakan kekesalannya kerana menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah.

Dato' Bendahara mempersembahkan sembah derhaka. Hang Tuah diberitakan masih hidup kepada baginda Sultan. Hang Tuah dikembalikan. Kerisnya diminta semula. Tetapi sudah diserahkan kepada Hang Jebat. Hang Tuah terpaksa akur denga keris yang diberikan oleh baginda Sultan.

Dengan semangat yang ada, Hang Tuah pergi menentang Hang Jebat. Mereka membuat perhitungan. Pertarungan yang hebat tercetus. Sambil bermain senjata mereka berbicara. Akhirnya Hang Jebat mati di tangan Hang Tuah.

Hang Tuah diraikan dan dilantik menjadi Laksamana Melaka. Tetapi hatinya tidak tenang. "Siapakah yang benar? Jebatkah benar? Atapun akukah yang benar?"

Kesetiaan ada batasan. Selidiklah dahulu sebelum membuat keputusan. Keputusan yang baik tidak akan memberi kesukaran. Jika ianya dibuat atas nama kebenaran. [TAMAT]



Kembali Ke P.Ramlee - Filem...

Kembali Ke P.Ramlee - Lagenda Sepanjang Zaman