Make your own free website on Tripod.com

P.Ramlee - Kenalan

Berikut adalah senarai mereka yang sezaman dengan P.Ramlee yang terpilih.

Ahmad Nesfu berasal dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang. Sebelum menjadi seorang pelakon, beliau adalah orang bangsawan. Mula berlakon dengan P.Ramlee mulai filem Seniman Bujang Lapok. Lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Besar' kerana memiliki hidung yang besar. Seniman ini adalah salah seorang seniman yang dikagumi oleh P.Ramlee.

Aziz Sattar dilahirkan di Surabaya, Indonesia. Datang ke Studio Jalan Ampas, Singapura berkerja di bahagian dubbing. Secara sambilan beliau berlakon dan membuat persembahan pentas. Oleh kerana kekelakarannya unik, P.Ramlee telah mengambilnya untuk menjadi sebahagian daripada trio 'Bujang Lapok'.

Jamil Sulong mula bekerja di Malay Film Productions sebagai penterjemah. Beliau yang dilahirkan Parit Sulong, Johor kemudiannya menjadi pembantu pengarah. Jamil Sulong juga amat mahir dalam menghasilkan gurindam dan pernah menulis lagu untuk P.Ramlee.

Mohamad Zain Samsuddin atau lebih dikenali dengan nama Jins Shamsuddin berasal daripada Taiping. Hadir untuk uji bakat oleh P.Ramlee, beliau menjadi pelakon tambahan. Kemudian sedikit demi sedikit dia mendapat pendidikan daripada P.Ramlee. P.Ramlee amat sukar untuk menerima tawaran belakon daripada pengarah-pengarah yang lain. Tetapi penghormatan ini telah diberikan kepada Jins Shamsuddin untuk berlakon di dalam filem 'Bukan Salah Ibu Mengandung.'

S.Kadarisman berasal daripada keluarga yang berlatar belakangkan seni. Mula berlakon dalam filem 'Menantu Derhaka' terbitan syarikat di Indonesia. Di Malay Film Productions, beliau merupakan salah seorang anggota dalam Majlis Penapis Cerita. Serba boleh di dalam apa jua peranan. Cerita-ceritanya telah diterima oleh P.Ramlee untuk diarahkan. Diantaranya Labu Labi dan Madu Tiga.

Keayuan Kasma Booty sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Seniwati yang berasal daripada Medan, Indonesia ini berlatar belakangkan keluarga seni. Seperti P.Ramlee, Kasma Booty telah discreen test oleh B.S Rajhans dan menjadi pelakon di Malay Film Productions. Kasma pernah menjadi pasangan kepada P.Ramlee dalam filem Bakti, Sejoli, Juwita dan Damaq.

Nordin Ahmad pernah diselamatkan oleh P.Ramlee ketika kebanyakan filem-filem lakonannya tidak menjadi. P.Ramlee telah menjadikan Nordin Ahmad sebagai hero kedua di dalam filem Semerah Padi. Setelah itu, namanya melonjak naik setanding dengan nama-nama seniman ketika itu. Permulaan di dunia lakonan ialah sebagai pelakon tambahan.

Seniwati yang berasal daripada Menado ini berlatar belakangkan keluarga seni. Normadiah bukan sahaja berkeboleh untuk berlakon tetapi juga menyanyi. Digandingkan dengan P.Ramlee dalam filem Bujang Lapok, Panggilan Pulau, Perjodohan dan Siapa Salah. Turut berduet dengan P.Ramlee dalam lagu Bulan dan Juga Angin, Mengapa Riang Ria, Kumbang dengan Bunga dan banyak lagi.

Siapa yang tidak kenal dengannya. Seniwati yang banyak bergandingan dengan P.Ramlee. Saadiah melibatkan diri dalam dunia perfileman setelah selalu berulang alik ke Studio Jalan Ampas untuk menemani kakaknya Mariam. Saadiah lebih gemar membawakan watak wanita yang menanggung deria dan menolak watak wanita curang. Antara filem yang pernah dilakonkan bersama-sama P.Ramlee ialah Juwita, Anjoran Nasib, Sedarah, Penarek Becha, Hang Tuah, Semerah Padi, Sarjan Hassan, Musang Berjanggut dan Antara Dua Darjat.

Seniwati Sarimah adalah salah seorang daripada bintang yang dicungkil bakatnya oleh P.Ramlee. setelah discreen test, Sarimah diberi pengenalan umum melalui filem Ali Baba Bujang Lapok. Seorang yang cepat bersinar bintangnya. Diantara filem lain yang digandingkan bersama P.Ramlee ialah Ibu Mertuaku, Labu Labi, Madu Tiga, Tiga Abdul, Kanchan Tirana dan Dr Rushdi.

P.Ramlee amat cemburu dengan seniman ini kerana kebolehannya meniru suara dan lagu-lagunya dengan mudah biarpun sekali saja ianya didengari. S.Shamsuddin telah mendapat didikan daripada bapa mertua P.Ramlee iaitu Daeng Haris. Keistimewaannya terletak pada gerak badannya yang lincah dan lidahnya yang petah sewaktu berkata-kata. Membintangi 5 filem Bujang Lapok, Antara Dua Darjat dan Panggilan Pulau.

Ramai yang tidak mengetahui tentang seniman ini. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab dalam membantu P.Ramlee mengubah lagu. Beliau juga adalah diantara teman yang paling rapat dengan P.Ramlee. Keakraban mereka terbukti dengan timbulnya nama 'Madjilee'. S.Sudarmadji mula berkhidmat di Malay Film Productions sebagi kerani kontinuiti. Mempunyai latar belakang seni yang serba boleh.


Kembali Ke P.Ramlee - Lagenda Sepanjang Zaman