Make your own free website on Tripod.com

P.Ramlee - Filem 'Laksaman Do Re Mi'.

Laksamana Do Re Mi adalah filem terakhir yang dilakonkan dan diarahkan oleh P.Ramlee. Dkeluarkan oleh Shaw Brothers Organizations dan dibuat oleh Merdeka Film Limited Kuala Lumpur tahun 1972. Turut menjayakan filem ini ialah A.R Tompel, Ibrahim Din, Dayang Sulu, Hussein Abu Hassan, Osman Botak, Bakar Kerinting, Norizan, Osman Haji Ismail dan ramai lagi.

Filem ini memaparkan kisah 3 orang sahabat iaitu Do (P.Ramlee), Re (A.R Tompel) dan Mi (Ibrahim Din). Mereka tinggal di atas pokok kerana mahu bebas dan mengelak daripada membayar cukai. Namun begitu, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah. Mereka tidak terlepas daripada tuntutan tersebut.

Tuan tanah menuntut haknya. Maka Do, Re dan Mi terpaksa keluar daripada rumah mereka. Mereka menuju ke mana saja kaki membawa. Sedang mereka berehat di satu rumpun buluh, mereka bersua dengan Tuan Puteri Buluh Betong (Dayang Sulu) yang menjerit kesakitan ditikam lembing.

Mereka menyelamatkan Tuan Puteri tersebut. Sebagai membalas budi dan jasa, Tuan Puteri telah menghadiahkan Do sehelai tikar pandan terbang, Re teropong ajaib dan Mi bangsi ajaib.

Kemudian mereka meneruskan pengembaraan dengan penuh kelucuan ke negeri Pasir Berdengung. Di sana mereka telah beradu nasib untuk menjawat jawatan laksamana dan mereka memperolehi kejayaan dengan dengan bantuan bangsi ajaib.

Setelah menyandang jawatan tersebut, mereka telah diarahkan oleh Raja negeri tersebut untuk membantu negeri Pasir 2 Butir. Ini kerena negeri itu telah dikhianati oleh menterinya yang bernama Pasola.

Sampai di negeri itu, Laksamana Do, Re, Mi telah diperdengarkan kisah akan terjadinya kekacauan di negeri tersebut. Kemudian Raja Pasir 2 Butir memaklumkan, barang siapa yang dapat menyelamatkan Tuan Puterinya daripada cengkaman Pasola diantara laksamana bertiga, maka dialah yang akan dapat memperisterikan Tuan Puteri.

Apabila mendengar akan hal tersebut mereka pun bergegas ke tempat persembunyian Pasola. Mereka bersatu mengatur strategi dan akhirnya Pasola tewaskan. Itu pun dengan bantuan barangan ajaib milik mereka.

Antara dialog yang diungkapkan oleh mereka ialah, "...namun kilat sabung menyabung. Petir guruh menggegar langit. Halilintar membelah bumi. Belum tentu hujan mau turun... Hamba tak pandai berkata panjang. Hanya intan memotong kaca. Silatmu kusangka intan. Rupanya pasir ditepi jalan... Nanti!!! Kalau dia pasir di tepi jalan. Ini dia, batu karang di tengah lautan... Sedangkan gajah berkaki empat. Kadang kala tersandung jatuh terlipat..."

Setelah menyelamatkan Tuan Puteri, masalah lain pula yang timbul. Diantara laksamana bertiga itu, siapakah yang patut mengahwini Tuan Puteri. Masing-masing cuba menambat hati Tuan Puteri.

Keesokannya mereka pulang ke negeri Pasir 2 Butir. Di sana Laksamana Do, Re, Mi menuntut janjinya daripada Raja negeri itu. Oleh kerana keadaan negeri itu yang belum lagi stabil, Raja telah menitahkan anaknya untuk pulang bersama-sama dengan laksamana bertiga ke negeri Pasir Berdengung untuk melaksanakan upacara perkahwinan. Sambil itu Raja juga berpesan kepada anaknya, "Tarik rambut pelan-pelan. Rambut tak putus, tepung tak berserak."

Maka berangkatlah Tuan Puteri bersama dengan laksamana bertiga pulang ke negeri Pasir Berdengung. Tiba di sana, lain pula ceritanya. Raja Pasir berdengung terpikat dengan kecantikan Tuan Puteri. Lalu mengambilnya menjadi permaisurinya.

"Masuk angin keluar asap." Itulah yang dirasai oleh laksamana bertiga. Dan sebagai Raja yang adil, Raja telah menggantikan Tuan Puteri dengan 3 orang dayang istana. Setelah melihat dayang istana itu, Laksamana Do, Re, Mi lari meninggalkan istana.

Lakukanlah sesuatu itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ini kerana sesuatu yang baik akan datang daripada sesuatu perbuatan yang ikhlas. [TAMAT]



Kembali Ke P.Ramlee - Filem...

Kembali Ke P.Ramlee - Lagenda Sepanjang Zaman