|
P.Ramlee - Filem 'Musang Berjanggut'
Filem ini keluarkan oleh Show Brothers Limited dan dibuat oleh Malay Film Productions
pada 1 Ogos 1959. Membintangi filem ini ialah P.Ramlee, Saadiah, Ahmad Nesfu, Udo Umar,
Malek Sutan Muda, Nyong Ismail, Mustarjo dan ramai lagi. Cerita dan teraju utamanya
ialah P.Ramlee.
Filem ini bermula, Sultan Ahmad Shah Bana (Ahmad Nesfu) memerintah negeri Pura Chendana.
Baginda dibantu oleh Datok Bendahara (Udo Omar), Datok Bentara Mangku Bumi (Malik Sutan
Muda), Datok Pujangga dan Datok Nikah Kahwin (Mustarjo).
Baginda tidak mempunyai waris telah bertitah kepada sekelian hamba rakyat untuk mengambil
seorang anak angkat. Setelah dicanang, maka ramailah ibubapa membawa anak mereka ke istana.
Tun Nila Utama telah dipilih.
Tun Nila Utama melengkapkan diri semasa remaja untuk menjadi pengganti sultan. Setelah
sekian lama menuntut, akhirnya Tun Nila Utama pulang ke istana.
Kepulangannya disambut meriah. Kemudiannya baginda Sultan menitahkannya untuk mendirikan
rumah tangga. Tun Nila Utama enggan kerana menganggap semua perempuan yang ada di dalam
negerinya itu hanyalah semata-mata betina. Apabila ditanya baginda Sultan apakah perbezaannya,
Tun Nila Utama pun menjawab,
"Perempuan menjaga maruah, tetapi betina menjualnya."
Baginda murka dengan perkataan Tun Nila Utama itu. Kemudiannya baginda memberi tempoh satu
tahun kepada Tun Nila Utama pergi keluar mencari isteri. Jika gagal, Tun Nila Utama dihukum
pancung.
Tun Nila Utama keluar dari negeri Pura Chendana dengan berbekalkan azam dn juga 1 uncang yang
mempunyai campuran pelbagai bahan masakan. Dia telah bersumpah, barang siapa yang mahu memasak
bahan yang ada di dalam uncangnya itu, maka perempuan itulah yang akan diperisterikannya.
Dalam perjalanan pelbagai perkara yang ditempuhinya. Tidak kurang orang mengatakannya gila.
Sehinggalah pada suatu hari, Tun Nila Utama bertemu dengan Puspawangi di tepi pantai.
Di sana Puspawangi telah membawa Tun Nila Utama ke rumahnya. Kedatangan Tun Nila Utama telah
disambut baik oleh ibubapa Puspawangi. Apabila makanan hendak disediakan, Tun Nila Utama
menghulurkan uncangnya.
Keliru ataupun muslihat, itulah yang bermain difikiran Puspawangi dan ibunya setelah melihat
kandungan uncang Tun Nila Utama. Ibunya mahu memulang uncang tersebut, tetapi telah dihalang
oleh Puspawangi. Lantas Puspawangi mengasingkan campuran bahan tersebut.
Setelah makan disediakan, akhirnya Tun Nila Utama pun diberitahu bahawa masakan malam itu
adalah dari uncangnya. Bagi mengotakan sumpahnya, Tun Nila Utama telah menyatakan hasratnya
untuk memperisterikan Puspawangi.
Persetujuan dicapai antara Tun Nila Utama dengan Puspawangi. Tanpa perlu berayat panjang, mereka
tidak bertepuk sebelah tangan. Selepas mendirikan rumah tangga, Tun Nila Utama kembali ke Pura
Chendana bersama dengan isterinya.
Hajat Tun Nila Utama sebenarnya telah menjadi penghalang kepada Megat Alang Sengketa untuk meraih
Puspawangi. Dalam perjalan pulang Tun Nila Utama, Megat Alang Sengketa membuat helah. Perhitungan
diadakan diantara Tun Nila Utama dengan Megat Alang Sengketa. Tetapi siapakah Megat Alang yang mampu
menandingi ilmu Tun Nila Utama? Akhirnya Megat Alang Sengketa tertewas dan Tun Nila Utama meneruskan
perjalanan ke Pura Chendana.
Kepulangannya disambut meriah oleh keluarga dan seluruh negeri Pura Chendana. Keesokkannya Tun Nila
Utama mengadap baginda Sultan. Oleh kerana keayuan yang ada pada Puspawangi, baginda Sultan dan
4 orang menterinya mahukan Puspawangi untu diri sendiri. Perancangan telah dibuat dan Tun Nila Utama
telah dititahkan untuk keluar mencari musang berjanggut untuk mengubati sakit baginda Sultan.
Puspawangi mengesyaki sesuatu dan meminta suaminya untuk bersembunyi di dalam kampung. Tun
Nila Utama bersetuju. Sebaik saja Tun Nila Utama keluar meninggalkan rumah, utusan baginda tiba.
Puspawangi mengadap baginda. Baginda memberitahu Puspawangi yang baginda mahu mendampingi
Puspawangi. Puspawangi bersetuju. Dalam perjalanan pulang, satu persatu menteri membuat temujanji.
Itu pun Puspawangi bersetuju. Bersetuju setuju juga, tetapi muslihat penuh dikepala.
Sebenarnya inilah musliaht Puspawangi untuk memerangkap Datok Nikah Kahwin yang berjanggut ke
dalam sebuah peti pada malam itu. Puspawangi berjaya memperdayakan kesemua menteri termasuk
baginda Sultan sendiri.
Musang berjanggut dibwa ke istana oleh Tun Nila Utama. Sultan dan menteri-menterinya terkejut
apabila melihat Datok Nikah Kahwin berada di dalam peti. Masing-masing cuba menyalahkan diantara
satu sama lain. Tetapi mereka Cuma berdiam apabila masing-masing menyedari akan kejadian malam tadi.
Menyedari akan kesalahan yang telah dilakukan, maka baginda Sultan telah melepaskan diri dari
pemerintahan negeri dan menyerahkannya kepada Tun Nila Utama. baginda juga menitahkan agar semua
menteri-menterinya juga berbuat demikian bagi menebus kesalahan mereka.
Tidak kira lelaki mahupun wanita, mereka yang baik adalah mereka yang menjaga maruah. Membataskan
diri dengan mengingati nilai maruah boleh membantu dalam menghasilkan masyarakat yang harmoni,
aman dan sentosa.[TAMAT]
Kembali Ke P.Ramlee - Filem...
Kembali Ke P.Ramlee - Lagenda Sepanjang Zaman
|