Make your own free website on Tripod.com

P.Ramlee - Filem 'Sumpah Orang Minyak'.

Cerita seram ini telah dikeluarkan oleh Shaw Brothers Limited dan dibuat oleh Malay Film Productions Limited pada 20 April 1958. dibintangi oleh P.Ramlee, Daeng Idris, Ali Rahman, Salleh Kamil dan Marrion Willis. Jalan ceritanya oleh Teuku Dja'far, dialog oleh S.Sudarmadji dan diarahkan oleh P.Ramlee.

Cerita mula di Kampung Tualang Tiga. Si Bongkok hidup melarat kerana berwajah hodoh dan juga berbuatan ayahnya. Orang kampong bukan setakat membenci Si Bongkok, tetapi membulinya.

Hanya 2 orang sahaja yang manaruh belas kasihan kepada Si Bongkok, iaitu Bang Selamat dan Afida. Bang Selamat bekerja sebagai pembuat batik. Di pondok buruk, Si Bongkok membantu mencurahkan seni pada batik dan juga lukisan.

Suatu hari, orang-orang muda yang diketuai oleh Si Buyong mengusik Si Bongkok. Kali ini bukan setakat mengusik tetapi menyeksa. Kaki Si Bongkok diikat pada pokok. Kemudian direjam-rejamnya dengan batu. Si Bongkok rayu dilepaskan, tetapi tidak diendahkan rayuannya oleh Si Buyong.

Afida yang melihat kejadian itu dengan segera membuka ikatan kaki Si Bongkok. Tidak semena-mena, Si Buyong memprotes. Kemudian datang sekumpulan lelaki menyerang Si Buyong dan kengkawannya.

Afida menasihati Si Bongkok supaya keluar meninggalkan Kampung Tualang Tiga. Sebelum meninggalkan kampung, Si Bongkok menghadiahkan sebuah lukisan kepada Afida dalam satu keramaian Kampung Tualang Tiga. Si Bongkok telah dimalukan dan dia telah keluar dari kampung tersebut.

Kemarahannya memuncak, dia tidak dapat menerima penghinaan. Di kubur ayahnya, Si Bongkok meluahkan segalanya.

Kuasa Tuhan merubah segalanya. Tiba-tiba sebuah istana yang indah muncul di hadapan Si Bongkok. Kemudian keluarlah seorang puteri menyambut dan menjemput Si Bongkok.

Si Bongkok diiringi untuk mengadap penghulu di situ, Penghulu Bunian. Si Bongkok Cuma dibenarkan meminta satu hikmat dalam banyak-banyak hikmat yang terkandung di dalam sebuah kitab. Lalu dipilihnya akan kecantikan dengan perlu mandi di sebuah kolam yang berisi Air Bahtera Nabi Nuh AS.

Hasratnya termakbul, rupa parasnya kini amat kacak. Puteri Bunian menaruh harapan, maka bercintalah mereka. Demi cinta mereka bersua dengan Penghulu Bunian untuk bersatu. Permintaan mereka ditolak kerana perjanjian hanya memilih satu.

Si Bongkok dihantar pulang ke dunia asalnya. Dia terus pulang ke pondok Bang Selamat. Tibanya dia di sana, Bang Selamat tidak dapat mengcam Si Bongkok. Si Bongkok akhirnya mendedahkan identiti.

Si Bongkok amat terkejut apabila Bang Selamat memberitahunya sudah 3 tahun Si Bongkok meninggalkan kampung. Lebih mengejutkan lagi, Afida sudah bertunang dengan Si Buyong.

Si Bongkok mengambil keputusan untuk merampas Afida daripada Si Buyong. Di temasya yang sama seperti 3 tahun yang lalu, Si Bongkok membuat personaan. Ramai yang tidak mengenalinya. Si Bongkok memperkenalkan semula dirinya, " Akulah si bongkok yang dikau haramkan untuk memijak kampung Tualang Tiga!!! Tetapi kini, aku dikau sembah-sembah, aku diagung-agungkan sebagai raja!!! Sebab apa? Wajahku tak seburuk dulu, sebab aku cantik berpakaian indah. Jujurkah kamu hidup sebagai manusia? Dikau semuanya pengecut! Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah."

Setelah menyatukan hasratnya, Si Bongkok terus membawa Afida pergi. Si Buyong tersalah langkah. Afida menjadi mangsa. Si Bongkok menuntut bela. Si Buyong menyusul Afida.

Dengan itu, Si Bongkok melanggar janji. Jadi Si Bonggok sudah tidak kelihatan lagi. Meratapi apa yang terjadi, terlajak bubur sesudah nasi.

Datanglah syaitan memberi harapan. Boleh menjadi manusia seperti sedia kala. Dengan syarat menodai 21 wanita dalam masa 7 hari. Si Bongkok bersetuju dan jadilah dia orang minyak.

Satu persatu menjadi mangsa. Kampung Tualang Tiga hilang serinya. Orang minyak bermaharajalela. Orang kampung berjaga-jaga. Banyak usaha dilakukan. Membunuh orang minyak itulah idaman.

Kurang seorang mangsa orang minyak, Penghulu Bunian datang memberi pertolongan. Orang minyak ditangkap sudah. Kampung Tualang Tiga kembali aman. Pesanan Penghulu Bunian, "Aku ingin meninggal pesan, wahai penduduk tualang tiga, jikalau menghina sesama makhluk, hilang ria timbul bencana."

Ingatlah bahawa tiap-tiap ciptaan itu ada hikmah disebaliknya. Pasti ada sesuatu yang tersirat disebalik yang telah tersurat.[TAMAT]



Kembali Ke P.Ramlee - Filem...

Kembali Ke P.Ramlee - Lagenda Sepanjang Zaman